Friday 25 April 2014

Kelahiran semula Karpal Singh dalam DAP?


Sebelum melanjutkan penulisan kali ini, blogger ingin mengucapkan salam takziah kepada keluarga mendiang Karpal Singh yang telah meninggal dunia pada 17 April 2014 akibat kemalangan jalanraya di Lebuhraya Utara Selatan bahagian Kampar, Perak. Umum mengetahui mendiang Karpal Singh bukan sahaja dikenali sebagai pemimpin pembangkang yang paling digeruni oleh kawan dan lawan malah beliau juga dikenali sebagai peguam terhandal di Malaysia. Kehebatan beliau dalam bidang perudangan, guaman dan politik sehingga mendapat jolokan Harimau Jelutong atau Tiger of Jelutong.

Lahir pada 28 Jun 1940 di Pulau Pinang, Karpal Singh merupakan anak kepada pasangan Ram Singh Deo dan Kartar Kaur. Berketurunan Punjabi, beliau mendapat pendidikan di Institusi St Xavier (1948 - 1960) dan melanjutkan perlajaran beliau dalam bidang perundangan di Universiti Singapura (1961 - 1968). Beliau kemudiannya membuka firma guamannya Karpal Singh & Co. dan menjadi seorang peguam yang sangat dedikasi pada kerjaya beliau. Beliau mula menceburi diri dalam bidang politik pada tahun 1974 apabila berjaya memenangi kerusi DUN Bandar Alor Setar, Kedah dan ketika itu, beliau dikenali sebagai 'Mr Apollo'. Pada 1978 pula, beliau bertanding di DUN Bukit Gelugor dan Parlimen Jelutong dan berjaya mengekalkan kerusi DUN selama 13 tahun (1978 - 1990) dan kerusi Parlimen selama 21 tahun (1978 - 1999). Beliau kembali menggegarkan Parlimen pada 2004 apabila berjaya memenangi kerusi Parlimen Bukit Gelugor selama 3 penggal seterusnya. Kehadiran beliau dalam politik tanahair telah banyak mengubah landskap politik dan sistem perundangan dan kehakiman di Malaysia.

Seperti ahli politik pembangkang yang lain, beliau pernah ditahan di Kem Kamunting selama 15 bulan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1985 atau Internal Security Act 1985 (ISA) pada Oktober 1987 melalui Operasi Lalang yang dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammad. Beliau bersama beberapa orang tahanan yang lain dibebaskan pada 27 Januari 1989. Semenjak itu, beliau telah mengendalikan hampir 100 kes yang melibatkan tahanan dibawah ISA. Selain itu, beliau antara peguam yang terkenal dalam menggunakan habeas corpus (memerlukan seseorang dalam tahanan untuk menghadap mahkamah)

Mendiang Karpal Singh terkenal dengan kelantangan beliau dalam soal hak asasi manusia dan keadilan. Beliau bukan sahaja digeruni dan dihormati oleh kawan tetapi juga lawan. Beliau percaya bahawa di dunia ini tiada musuh tetap dan tiada kawan tetapi yang ada hanyalah prinsip yang tetap. Beliau tidak takut mengutarakan sesuatu perkara yang dirasakan betul dan menyalahi Perlembagaan Malaysia. Kehebatan beliau dalam soal undang-undang dan Perlembagaan Malaysia menyebabkan beliau tidak takut kepada sesiapa hatta Raja dan Sultan sekalipun kerana beliau percaya tiada siapa yang berada di atas Perlembagaan Malaysia.

Kejayaan terbesar beliau dalam sejarah arena politik Malaysia ialah menjadikan DAP sebagai parti kedua terbesar di Parlimen selepas UMNO. Sekembalinya beliau dalam arena politik pada tahun 2004 apabila memenangi kerusi Parlimen Bukit Gelugor menyaksikan DAP menang 12 kerusi. Kemudian, pada tahun 2008, bilangan kerusi DAP bertambah kepada 29 kerusi (1 kerusi dimenangi pada PRK P.212 Sibu) dan menawan Pulau Pinang. Kemuncak kejayaan karier politik beliau apabila berjaya membawa seramai 38 kerusi Parlimen pada tahun 2013 disamping mengekalkan pemerintahan di Pulau Pinang. Biarpun kini beliau sudah tiada, namun semangat beliau masih tersemat dalam kalangan ahli DAP.

Pemergian beliau tidak harus ditangisi sebaliknya kita harus bangga kerana tanpa beliau, DAP tidak akan sampai ke tahap sebegini. Beliau pergi meninggalkan kita dengan menyediakan pasukan yang hebat dan semangat beliau kini diteruskan oleh 2 ahli Senator, 37 ahli Parlimen DAP dan 107 ADUN DAP yang lain. Perjuangan kita belum selesai, Karpal Singh hanya meninggalkan pasukan yang kuat kepada rakyat Malaysia. Selebihnya, tanggungjawab untuk menegakkan keadilan dan hak asasi manusia di Malaysia haruslah dipikul bersama oleh 146 wakil rakyat DAP yang lain. Seorang Karpal Singh meninggalkan kita, 1000 Karpal Singh akan lahir. Inilah yang dinamakan kelahiran semula Karpal Singh dalam DAP. Jika harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, tetapi sekarang, Harimau Jelutong mati meninggalkan nama, Karpal Singh mati meninggalkan legasi.