Thursday 16 January 2014

Adakah Abdul Taib Mahmud akan menjadi TYT pada 28 Februari 2014?


Adakah Abdul Taib Mahmud akan menjadi TYT pada 28 Februari 2014?


Terdapat beberapa kemungkinan yang harus dipertimbangkan oleh Taib sebelum menjadi TYT Sarawak.

1) Jika Taib menjadi TYT pada 28 Februari 2014, maka beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak. Jelas kita akan ada Ketua Menteri Sarawak yang baru. Ramai yang lupa bahawa untuk sesorang itu menjadi TYT, beliau mestilah tidak memegang apa-apa jawatan lain. Maka, Taib terpaksa meletakkan jawatan beliau sebagai ADUN Balingian. Hal in kerana tempoh matang DUN Sarawak (3 tahun) jatuh pada 11 April 2014. Jika ada ADUN yang meninggal dunia, dipenjarakan setahun dan didenda melebihi RM2000 serta meletakkan jawatan sebelum genap tempoh 3 tahun selepas menjadi ADUN, Pilihan Raya Kecil wajib diadakan. Jika sebaliknya berlaku selepas genap tempoh 3 tahun, maka tidak perlu diadakan satu PRK. Katakan Taib menjadi TYT pada 28 Februari 2014, nescaya beliau terpaksa mencari seorang calon untuk menggantikan tempat beliau. Persoalannya sekarang, siapakah calon PBB yang akan diletakkan bertanding di DUN Balingian? Adakah beliau sanggup untuk melihat kawasan beliau menjadi rebutan antara BN dan PR? Jika BN menang, ianya akan menjadi bonus kepada mereka namun jika PR menang, ianya akan menjadi tamparan hebat kepada beliau.


2) Jika Taib tidak menjadi TYT selepas 28 Februari 2014, maka beliau terpaksa mencari seorang penganti bagi mengisi kekosongan jawatan TYT. Hal ini menyebabkan beliau terpaksa menunggu 2 tahun lagi untuk menjadi TYT dan saya merasakan beliau tidak akan sanggup untuk menunggu terlalu lama. Walaubagaimanapun, beliau boleh mencari seorang calon untuk menjadi Pemangku TYT sementara menunggu tarikh 11 April 2014 bagi mengelak berlakunya PRK DUN Balingian. Pemangku TYT tersebut akan memegang jawatan dalam tempoh mungkin 3 bulan dan Taib boleh melepaskan jawatan Ketua Menteri dan ADUN Balingian pada 31 April 2014 dan mengangkat sumpah sebagai TYT pada 1 Mei 2013. Persoalannya sekarang, siapakah calon yang akan menjadi Pemangku TYT jika perkara ini berlaku? Di Sarawak, hanya Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Sarawak dan Speaker DUN Sarawak sahaja yang layak menjadi Pemangku TYT untuk berberapa tempoh tertentu. Jika begitu, Taib terpaksa memilih Mohd Asfia Awang Nassar, Speaker DUN Sarawak sebagai Pemangku TYT Sarawak buat kali kedua.


3) Quartet A sedang menanti kerusi Ketua Mentei antaranya Alfred Jabu Numpang, Abang Johari Openg, Awang Tengah Ali Hassan dan Adenan Satem (atau mungkin Abdul Aziz Isa, sekadar gurauan tetapi tidak mustahil). Jika Jabu menjadi Ketua Menteri, ianya dapat mengurangkan ketegangan antara Abang Jo dan Awang Tengah namun melihat kepada umur Jabu, beliau mungkin dapat menjadi Ketua Menteri sehingga DUN Sarawak dibubarkan dan beliau tidak mungkin akan mengetuai BN pada Pilihan Raya Negeri Ke-11. Tidak mustahil juga selepas Taib, Jabu akan dilantik menjadi TYT Iban yang pertama di Sarawak. Jika Abang Jo menjadi Ketua Menteri, semestinya puak penyokong Awang Tengah tidak berpuas hati dan akan berlaku perlawanan 1 lawan 1 bagi merebut jawatan Presiden PBB pada tahun 2016 nanti dan ini juga akan memberi kesan buruk kepada PBB kerana PRN Sarawak harus diadakan selewat-lewatnya pada 20 Jun 2016 (Tempoh Tamat DUN). Namun begitu, Abang Jo dilihat lebih mudah untuk mengantikan Taib jika beliau (Taib) terpaksa demi menyelamatkan PBB kerana Abang Jo disukai oleh orang Iban. Jika Awang Tengah menjadi Ketua Menteri, puak penyokong Abang Jo tentunya tidak berpuas hati kerana berbanding Abang Jo dan Awang Tengah, kedudukan Abang Jo selaku Timbalan Presiden II lebih kanan (senior) berbanding Awang Tengah selaku Naib Presiden Kanan dan lebih muda (junior) dalam politik. Abang Jo yang sudah lama menjadi YB dari tahun 1978 dan dengan usianya beliau sekarang, 65 tahun semestinya beliau sudah merasakan lebih layak untuk dinaikkan sebagai Ketua Menteri berbanding Awang Tengah. Berbeza antara Awang Tengah dan Abang Jo, Awang Tengah diangkat menjadi YB di zaman Taib manakala Abang Jo diangkat menjadi YB di zaman Abdul Rahman Ya'kub. Jelas di sini menunjukkan agak berat hati untuk Taib melantik Abang Jo sebagai Ketua Menteri berbanding Awang Tengah. Jika Adenan menjadi Ketua Menteri, beliau kemungkinan besar akan ditentang oleh orang Dayak dalam PBB kerana tidak ramai orang Dayak menyukai Adenan sebagai seorang pemimpin akibat beberapa perkara yang dilakukan oleh beliau yang dilihat menguris hati orang Dayak dalam PBB semasa pemilihan parti yang menyaksikan perlawanan 1 lawan 1 antara beliau dan Abang Jo. Beliau merupakan bekas adik ipar Taib dan telah dikalahkan sebanyak 2 kali oleh Abang Jo kerana sebelum Awang Tengah menonjol, Adenan dilihat antara orang yang berpotensi untuk menggantikan Taib. Bila beliau kalah, Abang Jo dilihat lebih senior dari mana-mana pemimpin Melayu/Melanau dalam PBB selepas Taib. Walaupun Adenan dan Alfred Jabu berusia lebih 70 tahun, berbanding Alfred Jabu, Adenan mempunyai masalah kesihatan dan dalam ‘perlarian’ ini, beliau mungkin akan kalah.



4) Jika berlaku PRK DUN Balingian, PBB kemungkinan besar akan memanggil semula Mohd Effendi Narwawi ke persada politik tanah air. Hal ini kerana untuk menjadi Ketua Menteri, seseorang itu hendaklah menjadi ADUN bagi mana-mana kawasan terlebih dahulu. Selain Alfred, Abang Jo, Awang Tengah dan Adenan, Effendi juga merupakan antara calon yang bakal menggantikan Taib sebagai Ketua Menteri pada PRN 2006 namun malangnya, beliau menyatakan untuk berhenti dari politik pada PRU 2004. Walaubagaimanapun, beliau dilihat antara orang yang boleh mendamaikan puak penyokong Abang Jo dan puak penyokong Awang Tengah serta dapat membuat Adenan redha dengan ketentuan Illahi jika beliau dilantik menjadi Ketua Menteri. Jika ini benar-benar berlaku, Taib hendaklah melepaskan jawatan Ketua Menteri dan ADUN Balingian pada 28 Februari 2014 dan mengangkat sumpah sebagai TYT 28 Februari 2014 serta menamakan Alfred Jabu sebagai Ketua Menteri selama 3 bulan bagi mencukupkan syarat. Selepas Effendi menang di DUN Balingian, beliau boleh mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri menggantikan Alfred Jabu. Persoalnnya sekarang, jika PR menang di DUN Balingian dan Effendi kalah dalam PRK tersebut, hal ini bermaksud Alfred Jabu ‘terpaksa’ memegang jawatan Ketua Menteri sehingga pembubaran DUN Sarawak berlaku.


Pada ketika itu, PBB hanya ibarat retak menanti belah. Mungkin Adenan dan Asfia boleh mengatur strategi baru. Sebenarnya, terdapat satu lagi puak penyokong pemimpin PBB yang bercita-cita tinggi untuk menjadi Ketua Menteri Sarawak. Beliau pernah bergelar YB suatu ketika dahulu namun kehadiran beliau hanyalah dilihat sebagai orang suruhan Taib. Setakat ini, beliau berjaya membuatkan undi Daud Abdul Rahman merosot pada Pemilihan PBB tahun lepas sehingga mengakibatkan Daud gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden. Beliau kini kian hebat mengumpul seberapa banyak penyokong yang mampu agar cita-cita beliau itu tercapai. InsyaAllah, beliau akan dicalonkan oleh PBB di DUN Tupong pada PRN Sarawak akan datang dan semestinya pencalonan beliau ini akan menjadikan DUN Tupong dalam keadaan bahaya yang memaksa pihak keselamatan untuk membuat kawalan rapi sepanjang tempoh berkempen.


Jadi, adakah Abdul Taib Mahmud akan menjadi TYT pada 28 Februari 2014? Hanya pandangan rawak saya. Sama-sama kita saksikan.   

No comments:

Post a Comment