Bismillahirahmanirahim. Assalammualaikum, salam sejahtera dan salam UBAH!
Pandangan saya sebagai seorang Islam dalam isu Kalimah Allah. Mereka
yang tidak berhati perut akan tergamak melakukan apa sahaja demi
memuaskan nafsu politik mereka. Anda nak tahu kenapa Bible dirampas di
Damansara? Biar saya dedahkan satu rahsia yang mungkin terbuku dalam
pemikiran anda cuma anda tidak berani meluahkannya. Saya faham kerana
anda hanya minority di Malaysia namun kalian tidak harus bimbang kerana
terdapat lagi orang Islam di luar sana yang berfikiran waras dan
mempunyai sifat kasih saying. Biar saya meluahkannya bagi pihak anda dan
saya akan berusaha untuk memastikan kehidupan minoriti di Malaysia
tidak akan ditindas. Kenapa Bible tidak dirampas di Sarawak tetapi
dirampas di Semenanjung? Di Sarawak, orang Kristian majoritinya adalah
Dayak dan Dayak adalah Bumiputera. Di Semenanjung, orang Kristian
majoritinya adalah Cina dan Cina pula bukan Bumiputera. Apa yang
dilakukan oleh kerajaan sekarang lebih kepada sentimen perkauman. Di
Semenanjung, sentimen perkaumannya sangat kuat berbanding di Sarawak.
Saya tidak rasa kerajaan benci pada Kristian kerana mereka tahu Borneo
merupakan deposit tetap mereka namun berbeza di Semenanjung.
Kerajaan benci pada kaum Cina sehingga mereka melakukan apa sahaja
demi menyakitkan hati orang Cina. Matlamat menghalalkan cara. Mereka
tahu orang Cina majoritinya tidak menyokong kerajaan maka sebab itu
mereka melakukan apa sahaja demi menidakkan orang Cina. Ya, memang
asalnya isu ini tercetus dari The Herald yang dirampas oleh pihak
Kementerian Dalam Negeri (KDN) namun perkara itu dapat diselesaikan
secara aman dan tanpa disensasikan kepada orang awam. Namun, pernahkah
anda terfikir kenapa kerajaan memanjangkan perkara ini dan
memperbesar-besarkan isu ini? Cuma satu sahaja jawapannya, KERAJAAN
BENCI CINA! Inilah yang dinamakan sebagai ‘Wassatiyyah ala Mafia’. Anda
semua sudah ditipu dengan lawatan rasmi kerajaan ke Kota Vatican tahun
2013. Saya menyarankan orang Cina dan India untuk berhenti menjadi polis
dan askar kerana di topi anda ada tulisan ‘Allah’. Hal ini kerana orang
bukan Islam dilarang menggunakan Kalimah Allah dan nescaya secara tidak
langsung orang bukan Islam juga dilarang menggunakan apa-apa pakaian
yang mempunyai Kalimah Allah termasuklah topi askar dan polis. Orang
Cina dan India lebih bagus menjadi ahli perniagaan kerana mereka lebih
berjaya menjadi ahli perniagaan. Bukankah itu yang kerajaan kita
inginkan?
Keluarga sebelah mak saya beragama Kristian dan saya ada ramai kawan
Kristian. Secara jujurnya, saya bersimpati agama mereka diperlakukan
sedemikian. Saya faham akan perasaan mereka sekarang namun saya sangat
hormat kepada mereka kerana mereka tidak pernah menghina Islam dan
memutuskan hubungan kekeluargaan malah hubungan kami sekeluarga sangat
rapat. Malah, ada ahli keluarga saya yang berkahwin campur dan memeluk
agama Islam tetapi mereka tidak pernah memusuhi Kristian. Apa perasaan
kita sebagai umat Islam jika orang Kristian merampas al-Quran dan
membakar al-Quran? Jika anda marah, begitu juga mereka. Orang Kristian
di Malaysia tidak memerangi Islam dan tidak menghalau orang Islam dari
kawasan kediaman mereka. Tidak bolehkah orang Malaysia bersikap bukan
sahaja toleransi tetapi juga menerima? Apakah Malaysia ini milik Islam
semata-mata? Bukankah Allah s.w.t telah mencipta manusia di dunia ini
berbeza-beza untuk mengenali antara satu sama lain dan bukan memusuhi
antara satu sama lain? Bukankah agamamu untuk mu dan agamaku untuk ku?
Tidakkah ada titik pertemuan antara Kristian dan Islam di Malaysia? Ya,
Allah adalah tuhan kita dan Allah juga adalah tuhan mereka. Apakah Allah
itu milik Melayu Islam sahaja? Allah mencipta manusia dan siapakah kita
untuk menentukan siapa yang layak menggunakan perkataan ‘Allah’?
Di kala terdapat segelintir golongan berkepentingan politik
mensensaikan isu ini, Alhamdulillah kerana terdapat lagi majoriti umat
Islam di Malaysia ini tidak termakan rentak politik kerajaan. Tahniah
saya ucapkan kepada beberapa orang pemimpin Islam di Malaysia yang
menunjukkan solidarity dengan penganut Kristian untuk memperjuangkan
keamanan dan kebebasan beragama di Malaysia. Golongan yang
berkepentingan ini tiba-tiba menjadi jaguh dalam memperjuangkan Kalimah
Allah namun tingkahlaku mereka persis seperti golongan yang jahil agama
apabila mencerca individu tertentu Islam yang berusaha melindungi
golongan minority Kristian? Apakah mereka ini begitu jahil kerana tidak
mengetahui bahawa Kalimah Allah sudah digunapakai oleh masyarakat
Kristian ribuan tahun dahulu? Jika mereka mengatakan hanya Melayu sahaja
yang berhak menggunakan Kalimah Allah, tidakkah mereka tahu bahawa
terdapat Cina, India, Dayak dan KadazanDusunMurut (KDM) yang masuk Islam
(muallaf)? Apakah mereka ini akan dimasukkan ke dalam neraka kerana
menggunakan Kalimah Allah? Orang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam
dan tidak menghalau Islam dari tanah kediamannya digelar kafir zimmi
manakala orang bukan Islam yang memusuhi Islam dan menghalau Islam dari
tanah kediamnnya digelar kafir harbi. Perbezaan kedua-duanya adalah
kafir zimmi harus dilindungi seperti majority yang terdapat di Malaysia
manakala kafir harbi harus diperangi seperti Zionis di Israel. Sabda
Rasulullah SAW maksudnya: “Barangsiapa membunuh kafir zimmi maka tidak
akan mencium bauan syurga. Sesungguhnya bauan syurga itu boleh didapati
sejauh perjalanan 40 tahun” (Hadis Riwayat Imam Ahmad). Islam juga
menjaga hak kafir zimmi sehingga kita dilarang menzalimi mereka. Hadis
Rasullulah saw: Rasulullah SAW bersabda, “Siapa yang menzalimi seorang
mu’ahid (ahlu zimmah), atau mengurangi haknya, atau membebaninya di atas
kemampuannya, atau mengambil darinya sesuatu di luar haknya, maka aku
menjadi lawannya di hari kiamat.” (HR Abu Daud).
Tindakan segelintir umat Islam yang menganiayai golongan minoriti
Kristian di Malaysia sangat menjijikkan dan tidak berperikemanusiaan.
Malah ada yang sudah hilang sifat kemanusiaan dek kerana taksub kepada
politik. Tidak dilarang kita berbeza politik dan berdebat di pentas
realiti namun apakah tindakan mempolitikkan agama Kristian dan Islam ini
suatu tindakan wajar direstui oleh rakyat Malaysia? Kalau saya jadi
pemimpin, saya akan benarkan orang Kristian menggunakan Kalimah Allah.
Kenapa? Hal ini merupakan sebahagian daripada cara berdakwah kerana
mereka dapat mengenali sifat-sifat Allah. Semakin kita mengecam orang
Kristian, semakin itu orang Kristian menjauhi diri dari kita (Islam).
Apakah perlu sampai membakar patung berupa pemimpin Kristian? Sebagai
ketua agama Kristian, beliau mempunyai hak untuk mempertahankan agama
beliau dan apakah itu menjadi kesalahan kepada beliau. Saya tidak faham
kenapa masih ada orang kita yang berfikiran jumud dan assabiyah? INI
SEMUA SENTIMEN PERKAUMAN! Hanya kerana ketua agama Kristian itu
berketurunan India dan paderi-paderi lain berketurunan Cina, anda
sanggup melibatkan agama dek kerana sentimen perkauman. Saya rasa, kalau
anda membakar patung berupa Datuk Bolly Lapok, seorang ketua agama
Kristian berketurunan Dayak Bumiputera, nescaya kerajaan akan kecut
perut melihat orang Islam, Kristian, Buddha dan Hindu di Borneo
sama-sama bangkit berganding bahu mempertahankan kebebasan beragama dan
keamanan di Borneo. Kalau orang Kristian bakar patut berupa ulama Islam
Malaysia, bagaimana perasaan kita? Kalau kita hendak orang hormat agama
kita, kita perlu hormat agama orang. Saya lihat pemimpin kerajaan yang
mengapi-apikan isu ini seolah-olah mereka memperjuangkan Islam sebagai
hipokrit. Dalam gambar berlakon memakai songkok tapi di belakang arak
dan judi. Saya sudah kata, perkara ini dapat diselesaikan secara aman
jika kerajaan menggunakan otak mereka demi menjaga keharmonian negara.
Anda bermati-matian mempertahankan Kalimah Allah tetapi anda tahukah
bahawa perbuatan anda ini menyebabkan Allah murka pada anda? Sekali
lagi, Allah mencipta kita berbeza-beza untuk mengenali antara satu sama
lain dan bukannya memusuhi satu sama lain. Faham ayat ini, baru kita
berjaya mencipta Bangsa Malaysia.
Saya sedih melihat tindakan JAIS bertindak sedemikian kerana JAIS
telah memburukkan nama Islam yang sekarang dipandang enteng oleh orang
Kristian. Kepada keluarga Kristian dan kawan Kristian saya, kami minta
maaf kepada kalian semua atas tindakan JAIS tersebut. Semoga kita
bersabar dan berdoa kepada Allah s.w.t. Isu Kalimah Allah akan dapat
diselesaikan jika UMNO dan BN dikalahkan. Percayalah, selama 5 tahun
sehingga 2018, BN akan memainkan isu agama. Perkara ini akan berhenti
buat seketika pada Pilihan Raya Negeri Sarak untuk menambat hati
masyarakat Dayak dan akan bersambung kembali jika BN menang di Sarawak.
Ayuh kita cari titik persamaan yang dapat menyatukan kita sebagai anak
Malaysia. Jangan kita ikut rentak kerajaan yang cuba menanam benih
kebencian antara Kristian dan Islam. Demi anak dan generasi kita akan
datang, sama-sama kita berganding bahu menunjukkan solidariti kita
menentang tindakan ekstrem kerajaan yang zalim dan menindas.
No comments:
Post a Comment