Wednesday 26 February 2014

Hapuskan sistem perlantikan Gabenor kepada pemilihan Gabenor.




Amerika Syarikat
Negara Amerika Syarikat mempunyai 50 buah negeri dan sebuah pusat pentadbiran persekutuan, Washington District of Columbia. Setiap 50 buah negeri ini diketuai oleh seorang Gabenor yang dipilih melalui sebuah pilihan raya yang dikenali sebagai Pilihan Raya Gabenor atau Gubernatorial Election. Setiap Gabenor yang dipilih akan memegang tampuk pemerintahan selama 2, 3 atau 4 tahun mengikut perlembagaan negeri masing-masing. Majoriti negeri di Amerika Syarikat menghadkan tempoh pemerintahan gabenor sehingga 2 penggal sahaja kecuali New Hampshire yang membenarkan seseorang Gabenor untuk memerintah tanpa had penggal.

Seperti pemilihan Presiden, setiap calon Gabenor akan melalui proses pemilihan di peringkat parti terlebih dahulu. Jika terdapat 10 orang calon Parti Demokrat yang menawarkan diri untuk menjadi calon Gabenor mewakili Parti Demokrat, mereka harus berdebat dan ianya akan disiarkan dalam siaran televisyen negeri mereka. Calon yang memperolehi undi tertinggi dari kalangan perwakilan (delegates) dan perwakilan khas (super-delegates) akan layak menjadi calon Gabenor untuk Parti Demokrat. Proses yang sama juga akan dilakukan bagi calon-calon Gabenor dari Parti Republikan. Jika terdapat calon Gabenor lain seperti Parti Progresif, Parti Libetarian dan Parti Hijau, mereka juga akan melalui proses yang sama seperti Parti Demokrat dan Parti Republikan.







Selesai pemilihan calon Gabenor bagi kedua-dua parti yang bertanding, maka mereka akan dibawa untuk berdebat dan melalui proses yang sama seperti semasa pemilihan dalam parti masing-masing. Terdapat negeri yang membenarkan calon parti menamakan seorang calon Naib Gabenor atau Lieutenant-Governor. Kebiasaannya, calon Naib Gabenor akan dipilih oleh calon Gabenor, dan jika calon Gabenor tersebut menang, kedua-duanya akan mengangkat sumpah menjadi Gabenor dan Naib Gabenor dari parti yang sama. Namun, terdapat juga negeri yang mempertandingkan jawatan Gabenor dan Naib Gabenor berasingan. Sebab itu terdapat negeri yang mempunyai Gabenor dari Parti Demokrat tetapi Naib Gabenor pula dari Parti Republikan. Mereka akan melalui pelbagai proses debat sehingga sehari sebelum pemilihan, mereka akan bertemu di pentas khas. Calon yang menang akan mengangkat sumpah sebagai Gabenor. Seorang Gabenor akan menjalankan tugasnya sebagai Ketua Negeri dan Ketua Kerajaan manakala seorang Naib Gabenor akan menjalankan tugasnya sebagai Presiden Dewan Senat Negeri. Di Amerika Syarikat, di peringkat negeri terdapat dua jenis badan perundangan iaitu Dewan Senat Negeri dan Dewan Perwakilan Negeri kecuali Nebraska yang hanya mempunyai satu dewan sahaja.

Saban tahun terdapat sahaja pemilihan Gabenor kerana terdapat peruntukan dalam perlembagaan negeri yang berbeza-beza tarikhs pemilihannya. Setiap Gabenor yang menang akan menjadi ahli dalam persatuan gabenor mengikut parti. Terdapat dua buah persatuan gabenor di AS iaitu Persatuan Gabenor Demokrat dan Persatuan Gabenor Republikan dan setiap persatuan gabenor ini akan memilih seorang pengerusi dari kalangan mereka setahun sekali. Persatuan gabenor ini ditubuhkan untuk menjadi suara pendesak kepada kerajaan persekutuan dalam menyediakan belanjawan kepada setiap negeri. Persatuan Gabenor Demokrat sebagai contoh, mempunyai seorang Pengerusi, Naib Pengerusi,  Bendahari, Setiausaha dan Ahli yang mana semuanya terdiri dari kalangan Gabenor yang dipilih. Selain itu, peranan mereka cukup luas dalam mempengaruhi pemilihan calon Presiden untuk parti masing-masing.

Setiap Gabenor di Amerika Syarikat tidak kebal dari undang-undang terutamanya dalam kes salahguna kuasa dan rasuah. Antaranya Roger Wilson dari Missouri (dipenjara selama 2 tahun kerana pengubahan wang haram), Mike Easley dari Carolina Utara (dipenjara kerana pembunuhan feloni), Don Siegalman dari Alabama (dipenjara selama 88 bulan kerana memberi rasuah dan penipuan), John Rowland dari Connecticut (dipenjara selama 10 bulan kerana rasuah), George Ryan dari Illinois (dipenjara atas 18 tuduhan menjual lesen dan kontrak kerajaan secara haram), Edwin Edwards dari Louisiana (dipenjara atas tuduhan mengugut, penipuan dan pengubahan wang haram), John Fife Symington III dari Arizona (dituduh mengugut, memalsukan penyata kewangan dan menipu bank namun dibebaskan selepas diampun oleh Presiden Bill Clinton), Jim Guy Tucker dari Arkansas (dipenjara selama 4 tahun kerana menipu dan melakukan konspirasi), Edward Daniel DiPrete dari Rhode Island (dipenjara selama setahun atas tuduhan rasuah dan menipu), David Lee Walters dari Oklahoma (dipenjara atas perbuatan kurang baik yang menyalahi undang-undang pilihanraya) dan ramai lagi. Selain itu, seorang Gabenor bukan sahaja boleh dibawa ke mahkamah malah boleh dipecat melalui satu sidang khas dewan perundangan masing-masing. Kes paling terkenal, Rod Blagojevich dari Illinois, beliau disingkirkan dari jawatan Gabenor beliau melalui undi pemecatan oleh Dewan Senat Illinois (59-0 undi) dan dipenjara selama 14 tahun atas 17 tuduhan rasuah dan ugut.

Malaysia
Di Malaysia, terdapat empat buah negeri yang mempunyai Tuan Yang Terutama (TYT) atau Gabenor. Setiap Gabenor akan dilantik oleh DYMM Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Ketua Menteri negeri masing-masing. Kebiasaannya, Gabenor ini dilantik selepas menjawat jawatan dalam parti pemerintah seperti Ketua Menteri. Di Sarawak, Abdul Rahman Ya'kub merupakan Ketua Menteri Sarawak selama 11 tahun (1970 - 1981) sebelum dilantik menjadi Gabenor. Di Melaka, Mohd Khalil Yaacob merupakan Menteri Besar Pahang selama 13 tahun (1986 - 1990) dan Menteri Penerangan selama 5 tahun (1999 - 2004) sebelum menjadi Gabenor Melaka. Di Sabah, Muhammad Fuad Stephens merupakan Ketua Menteri Sabah sebanyak 3 kali (1963 1964 dan 1976) sebelum menjadi Gabenor Sabah. Kesemua mereka pernah menjadi Ketua Menteri dan Menteri Besar sebelum dilantik menjadi Gabenor. Terdapat juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilantik menjadi Gabenor antaranya Abdul Rahman Abbas dari Pulau Pinang (1990 - 1995), dan Juhar Mahiruddin dari Sabah (2002 - 2011). Dalam sejarah Malaysia, hanya seorang sahaja orang Cina pernah dilantik sebagai Gabenor iaitu Leong Yew Koh apabila beliau dilantik sebagai Gabenor Melaka selama 2 tahun (1957 - 1959).

Gabenor dilantik menjadi Ketua Negeri tetapi bukan Ketua Kerajaan seperti di AS. Peranan Gabenor di Malaysia hanya simbolik dan untuk upacara perasmian. Kuasa yang ada pada seorang Gabenor antara lain memberi pengampunan, meluluskan rang undang-undang negeri, melantik Ketua Menteri dan merasmikan persidangan DUN. Apabila sesorang Gabenor dilantik oleh DYMM YDP Agong atas nasihat Ketua Menteri, secara tidak langsung Gabenor yang dilantik akan patuh kepada keputusan dan nasihat Ketua Menteri. Jika Gabenor itu tidak mengikut kehendak Ketua Menteri, beliau berkemungkinan besar tidak akan dilantik sebagai Gabenor selepas tempoh beliau habis. Pendek kata, Ketua Menteri lebih berkuasa berbanding Gabenor. Hal ini dapat dilihat jika ita mengambil sudut politik. Jika kita mengambil sudut demokrasi, Ketua Menteri dipilih melalui mandat rakyat manakala Gabenor dipilih melalui mandat seorang Ketua Menteri.

Berbeza dengan AS, Gabenor di Malaysia tidak dapat didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah dan harta mereka tidak boleh disiasat kerana mereka mempunyai gelaran TUN. Namun, apakah ini benar? Sebenarnya TIDAK. Seseorang Gabenor boleh dituduh rasuah dan menyalahgunakan kuasa di mahkamah tinggi kerana mereka bukan keturunan raja. Jika seorang Sultan atau Raja boleh dihadapkan ke Mahkamah Khas, inikan pula seorang Gabenor yang bukan anak raja. Seorang Gabenor tidak mempunyai DAULAT dan mengingkari arahan Gabenor tidak akan digelar DERHAKA. Hal ini kerana konsep daulat dan derhaka ini hanya untuk Sultan dan Raja. Perlantikan Gabenor ini lebih kepada untuk mengenang budi mereka dan kononnya menyelamatkan mereka dari tuduhan rasuah dan salahguna kuasa. Ianya memberi imej bahawa Gabenor di Malaysia tidak ada kualiti dan hanya merupakan boneka kepada Ketua Menteri. Kita mahukan Gabenor yang lebih proaktif dan bukan setakat menjadi tetamu kenamaan VVVVVVVVIP makan makanan mahal, berarak melambai tangan, menurunkan tandatangan di batu bersurat dan hanya menyarung selempang dan bintang kebesaran bertingkat-tingkat dengan pelbagai jenis gelaran.





Tiba masanya Gabenor di Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Melaka dipilih melalui satu pilihan raya seperti pilihan raya gabenor di AS. Apabila seorang Gabenor itu dipilih rakyat, beliau mempunyai kuasa dari mandat rakyat. Segala perbelanjaan beliau dan perbuatan beliau tertakluk kepada peruntukan DUN. Selain itu, Gabenor yang hidup mewah di Istana negeri tidak akan dianggap sebagai goyang kaki dan makan duit rakyat jika mereka dipilih oleh rakyat sendiri. Seorang Ketua Menteri pula tidak akan menjadi terlalu berkuasa jika Gabenor dipilih melalui raya dan kedua-duanya terpaksa berkongsi kuasa. Jika dilantik, Gabenor akan menjadi pak turut kepada Ketua Menteri dan tidak ada kuasa veto dalam membuat sebarang keputusan yang dirasakan melanggar perlembagaan negeri. Jika dipilih, Gabenor mempunyai kuasa veto untuk menolak sebarang rang undang-undang yang menyalahi perlembagaan negeri tanpa rasa takut. Ianya akan memberi imej bahawa Gabenor di Malaysia mempunyai mandat, maruah dan berkualiti.

Cuba kita perhatikan di Malaysia, kebanyakkan Gabenor kita berusia lebih 70 tahun malah ada yang hampir 100 tahun. Kita memerlukan Gabenor yang lebih muda, cergas dan aktif dalam memainkan peranan sebagai Ketua Negeri. Kita akan diketawakan oleh masyarakat dunia jika mereka melihat Gabenor kita ibarat sebuah relika muzium. Adakah ini yang kita mahu? Kita bukan lagi hidup di zaman feudalism tetapi di zaman moden. Upacara perlantikan seorang Gabenor adalah upacara zaman kuno dan untuk menjadi sebuah negara maju, ianya tidak harus disandarkan pada ekonomi semata-mata malah sistem politik juga. Jika kita masih mengamalkan sistem perlantikan Gabenor, bermaksud sistem politik kita masih jauh ketinggalan ke belakang berbanding Indonesia, Thailand dan Filipina. Pemilihan seorang Gabenor akan memberi kedua-dua pihak Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) untuk berlumba-lumba menjadi yang terbaik dengan menawarkan manifesto yang boleh menjadi landasan untuk rakyat memilih Ketua Negeri mereka. Selain itu, kita dapat melihat calon-calon Gabenor kita berkempen untuk memenagi kerusi Gabenor seperti kita melihat bagaimana calon-calon Parlimen dan DUN kita. Kita ingin melihat calon gabenor kita berdebat di kaca televisyen seperti di AS supaya kita mempunyai peluang untuk menentukan siapa bakal Ketua Negeri kita. Sistem ini lebih telus dan adil kepada semua pihak. Jika dilantik, ianya hanya telus dan adil kepada seorang sahaja iaitu Ketua Menteri. Kenapa Ketua Negeri harus dipilih ditangan seorang sahaja? Kenapa tidak dipilih ditangan majoriti rakyat? Adakah Ketua Menteri itu majoriti atau rakyat yang majoriti? Sampai bila kita hendak melantik Gabenor hanya untuk membalas budi mereka sedangkan ramai lagi manusia di Malaysia ini lebih banyak berbudi berbanding Gabenor-Gabenor yang ada?

Jika dari segi ekonomi, kita kalah dengan Singapura, apakah kali ini, kita ingin kalah dengan Thailand, Filipina dan Indonesia dari segi politik? Kita mahu satu sistem yang boleh mematangkan politik kita. Hanya melalui pemilihan sahaja kita dapat memberi rakyat peluang untuk memilih Gabenor dari kalangan Iban yang pertama, wanita yang pertama, India yang pertama, Penan yang pertama malah mungkin kita mempunyai peluang memilih Gabenor paling muda! Melalui pemilihan, rakyat dapat memilih Gabenor yang bersih, cekap dan amanah! Masa sudah tiba untuk kita UBAH sistem perlantikan Gabenor ini kepada sistem pemilihan Gabenor melalui sebuah pilihan raya.

No comments:

Post a Comment