Monday 17 February 2014

Orkestra Taib: Adenan Satem jadi CM, Abang Johari Gigit Jari


Orkestra Taib

Adenan Satem, Jadi CM,
Abang Johari, Gigit Jari,
Awang Tengah, Tidak Diketengah,
Alfred Jabu, Jadi Abu.



Orkestra Taib
Semasa Abdul Taib mengumumkan untuk melepaskan jawatan beliau pada 28 Februari 2014 di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako, 8 Februari 2014 yang lalu, ramai tertanya-tanya siapakah bakal pengganti beliau. Ramai yang menyangkakan Abang Jo atau Awang Tengah akan dipilih sebagai pengganti Taib. Nama Adenan tidak begitu menjadi sebutan ramai memandangkan keadaan kesihatan beliau yang dikatakan menjadi penghalang untuk jawatan tersebut. Alfred Jabu pula tidak begitu menonjol namanya kerana beliau dilihat hanya sekadar menumpang kerusi Timbalan Ketua Menteri. Selepas mesyuarat bersama ahli PBB, Taib mengumumkan 3 nama yang bakal menjadi pengganti beliau. Adenan Satem, Abang Jo dan Awang Tengah, menyedihkan, nama Alfred Jabu tidak terdapat dalam senarai beliau. Semasa 3 nama ini diumumkan, Abang Johari dan Awang Tengah memberi komen kepada media manakala Adenan Satem terus menghilangkan diri. Spekulasi mengatakan Adenan tahu bahawa beliau tidak akan menjadi Ketua Menteri namun ternyata permainan Taib-Adenan memerangkap kedua-dua Abang dan Awang.



Adenan Satem jadi CM
Adenan Satem adalah orangnya! Walaupun mempunyai masalah kesihatan dan tidak banyak memegang kementerian yang penting dalam kerajaan negeri dan pusat, namun siapa sangka, beliau menjadi pilihan Taib. Mengapa? Taib tahu jika beliau memilih Abang Jo, kem Awang Tengah akan membuat pemberontakan dalam parti. Jika Taib memilih Awang Tengah, perkara sama juga akan dilakukan oleh kem Abang Jo. Jadi, untuk memberi situasi menang-menang, kedua-duanya tidak dilantik tetapi Taib memilih yang lemah antara mereka iaitu Adenan. Taib juga tahu bahawa Adenan tidak mempunyai tentera yang banyak dan beliau hanya bergantung harap kepada anaknya, Abdul Aziz Adenan, untuk menjadi panglima beliau. Bila beliau lemah, beliau akan tunduk dengan Taib demi mengekalkan kuasa dan memerlukan sokongan Taib dalam PBB. Dalam masa yang sama, Taib dapat mempengaruhi dan mengikat kepimpinan Adenan dalam pentadbiran negeri nanti. Sepekara lagi yang harus kita ingat, Adenan merupakan bekas ipar Taib dan bak kata pepatah, air dicincang tidak akan putus. Permainan Taib ini mudah dijangka apabila Adenan diserap menjadi Penasihat Khas kepada Ketua Menteri tahun 2009 dan Menteri Tugas-Tugas Khas pada 2011 yang bertanggungjawab dalam hal ehwal tanah Sarawak. Malah, beliau diberi gelaran Tan Sri iaitu lebih tinggi dari Datuk Amar Abang Johari dan Datuk Amar Awang Tengah. Kebolehan Adenan berdebat juga tidak dapat ditandingi oleh kedua-dua Abang dan Awang ini dan ianya dilihat oleh pemimpin konservatif seperti Taib sebagai pakej untuk menjadi seorang pemimpin iaitu mesti pandai berdebat dan mempunyai kebolehan menangkis segala tuduhan. Sebab itu, Adenan Satem jadi CM.



Abang Johari gigit jari
Abang Johari menyangka beliau akan dipilih menjadi Ketua Menteri menggantikan Taib selepas nama Alfred Jabu tidak termasuk dalam senarai. Hal ini kerana Abang Jo merupakan orang no.3 dalam PBB selepas Taib dan Jabu. Apabila nama Jabu tidak tersenarai, secara automatik nama beliau antara yang paling senior. Selama beliau menjadi Menteri dan pemimpin Melayu paling senior dalam PBB, beliau hanya diberikan jawatan-jawatan yang kurang penting dalam negeri. Tidak dinafikan bahawa beliau merupakan seorang yang bebas dari rasuah dan salahguna kuasa akan tetapi beliau masih dilihat gagal mempertahankan orang Melayu sendiri. Buat masa ini, beliau hanya diberikan jawatan sebagai Menteri Perumahan dan Menteri Perlancong yang mana kedua-dua kementerian ini tidak cukup untuk dijadikan bekalan sebagai Ketua Menteri. Kemasukkan Abang Jo dalam arena politik bukanlah atas pilihan yang dibuat Taib, beliau dididik oleh Abdul Rahman Ya'kob. Jika Abdul Rahman tidak meletakkan Abang Jo menjadi calon di DUN Satok semasa era pentadbiran beliau, nescaya Abang Jo tidak mungkin akan berkecimpung dalam dunia politik. Taib berasa sungguh geram dengan Abang Jo kerana beliau telah 'membunuh' kemaraan Adenan sebagai Timbalan Presiden II PBB. Memandangkan pada ketika itu, hubungan Taib dengan bapa saudara beliau masih dalam keadaan dingin, maka perbuatan Abang Jo itu dilihat sebagai hasil didikan Abdul Rahman sehingga menyebabkan Taib marah kerana anak didik musuh beliau mencantas anak didik beliau, Adenan. Ini juga mungkin pengajaran kepada Abang Jo bahawa dari dulu hingga sekarang, beliau tidak pernah berada dalam hati Taib. Jika beliau masih mengharapkan jawatan Ketua Menteri itu jatuh ke riba, sampai bila-bila, Abang Johari akan gigit jari.



Awang Tengah tidak diketengah
Biarpun beliau orang no.4 dalam PBB selaku Naib Presiden Kanan I dan junior dari Abang Jo, namun peranan Awang Tengah tidak harus dipandang enteng. Beliau antara orang yang paling dipercayai oleh Taib selepas Adenan Satem. Hal ini kerana Abang Jo yang telah 'membunuh' kemaraan Adenan menyebabkan Taib menjadikan Awang Tengah sebagai ayam tambatan beliau. Awang Tengah yang memenangi kerusi DUN Lawas pada tahun 1987 merupakan anak didik Taib dalam politik memandangkan Taib adalah orang yang membawa Awang Tengah berkecimpung dalam dunia politik. Bahkan, Awang Tengah diberi kepercayaan untuk memegang TIGA kementerian! Pertama, Menteri Pengurusan Sumber dan Alam Sekitar meliputi pembalakkan, tanah, galian, gas asli dan banyak lagi serta Menteri Kemudahan Awam bertanggungjawab dalan bekalan elektrik, bekalan air, pencawang komunikasi dan gas dan Menteri Pembangunan Industri yang bertanggungjawab dalam industri perladangan, perlaburan, keusahawanan dan perniagaan. Ketiga-tiga kementerian ini cukup luas peranannya di Sarawak dan melayakkan seseorang itu menjadi Ketua Menteri. Bahkan, bukan itu sahaja. Awang Tengah begitu cemerlang dalam dunia politik apabila sentiasa memenagi kerusi DUN Bukit Sari (dulu DUN Lawas) dengan rekod mengalah pencabar beliau sehingga hilang wang deposit berturut-turut dan ianya berbeza dengan Abang Jo di DUN Satok. Namun, menagapa bukan Awang Tengah? Hal ini kerana terdapat 'tuan-tuan' dalam PBB menyatakan bahawa Awang Tengah masihbaru dalam politik dan terlalu junior biarpun beliau sudah menceburi politik sleama hampir 27 tahun! Ini hanyalah suara-suara yang dengki dan iri hati dalam PBB yang enggan melihat Awang Tengah menjadi Ketua Menteri kerana faktor kroni dan tender projek yang hanya diberikan kepada orang-orang tertentu sahaja. Terdapat gerakan-gerakan yang giat bergerak dalam PBB untuk nyahkan kekuasaan Awang Tengah dan usaha itu cuba dilakukan dengan mempengaruh Taib agar Awang Tengah diketepikan. Kerana itu, Awang Tengah tidak diketengah.



Alfred Jabu Jadi Abu
Tiba-tiba nama Alfred Jabu melonjak naik terutamanya dari kalangan masyarakat Iban. Sudah 44 tahun orang Iban meninggalkan jawatan Ketua Menteri dan harapan masyarakat Iban pada ketika ini hanya kepada Alfred Jabu. Jika Jabu berkehendak jawatan tersebut, sudah lama beliau menginginkannya. Namun Taib tahu, Jabu bukan seorang yang gila kuasa dan hanya menjadi pak turut kepada Taib. Dalam ucapan rasmi Jabu, beliau boleh dikatakan kerap membodek Taib dengan mengucapkan "Yang Dikasihi" sebanyak 15 kali. Masyarakat Iban selama ini tertipu dengan permainan mereka berdua ini. Kehadiran Jabu sebagai Timbalan Ketua Menteri selama hampir 40 tahun ini hanyalah sebagai penghias cermin bagi mengambil hati pengundi Iban. Hakikatnya, Jabu bukanlah pembela masyarakat Iban, beliau hanya pembela Taib. Umum mengetahui, Jabu hanya berminat membangunkan kawasan Iban di Betong tetapi tidak dikawasan lain seperti Sri Aman, Lubok Antu, Kanowit, Pakan, Julau, Kapit, Selangau, dan Marudi. Jika Jabu merupakan pemimpin Iban sejati, sudah lama beliau membangunkan kawasan-kawasan Iban ini. Jika Jabu merupakan pemimpin Iban yang berani, sudah lama beliau menuntut jawatan Ketua Menteri. Taib tahu akan perkara ini sebab itu beliau tidak menamakan Jabu memandangkan Jabu hanyalah seorang pak turut dan bukan seorang pemimpin. Jika pak turut menjadi ketua kerajaan, adakah negeri kita akan maju ke hadapan atau mundur kebelakang? Apakah jika Jabu dipilih menjadi Ketua Menteri memberi jaminan bahawa hidup masyarakat Iban akan bertambah baik? Usah fikirkan jaminan, selama 4 dekad menjadi Timbalan Ketua Menteri pun beliau gagal menaiktaraf hidup masyarakat Iban, apatah lagi hendak menjadi Ketua Menteri! Jika Jabu mula bangkit menuntut jawatan tersebut, sudah terlambat untuk beliau. Bagi Taib, namanya tidak layak menjadi seorang pemimpin. Apakan daya, Alfred Jabu jadi abu.

No comments:

Post a Comment