Wednesday 19 February 2014

Tiba Masanya Kita Mengiktiraf Masyarakat Cina dan India di Sarawak Sebagai Bumiputera

 


Zaman Pemerintahan Keluarga Brooke (1841 - 1941) sehingga Pemerintahan British (1945 - 1963)
Pada zaman pemerintahan Keluarga Brooke (James Brooke, Charles Brooke dan Charles Vyner Brooke), mereka tidak pernah membeza-bezakan rakyat Sarawak. Hal ini bukan kerana mereka orang kulit putih tetapi mereka berfikiran jauh bahawa setiap penduduk di Sarawak adalah sama. Keluarga Brooke tidak pernah mengamalkan dasar pecah perintah dengan membuat polisi perkauman seperti orang Melayu di luar bandar, Cina di bandar dan Dayak di hutan seperti penjajah British yang lain di Tanah Melayu.

Kewujudan Bumiputera dan Bukan Bumiputera
Semasa pemerintahan Keluarga Brooke, perkataan Bumiputera dan Bukan Bumiputera tidak pernah wujud. Apabila pihak Jepun menjajah Sarawak pada tahun 1941-1945, ianya juga belum wujud. Bahkan semasa era pemerintahan British dari tahun 1945-1963, perkataan tersebut masih belum wujud. Ketika Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963, tidak pernah wujud perkataan Bumiputera dan Bukan Buumiputera kerana yang wujud hanyalah Iban, Melayu, Cina, Melanau, Bidayuh, Orang Ulu dan Penan malah pada ketika itu, tidak wujud sama sekali perasaan syak wasangka sesama kaum. Apakah yang diwarisi oleh Keluarga Brooke, Jepun dan British selepas satu persatu mereka meninggalkan Sarawak? KEAMANAN! Perkataan Bumiputera dan Bukan Bumiputera hanya wujud setelah Sarawak bersama-sama dengan Borneo Utara (Sabah), Singapura dan Tanah Melayu membentuk Persekutuan Malaysia. Perkataan itu sangat asing bagi rakyat Sarawak dan sangat menghairankan, kenapa rakyat Sarawak perlu dikategorikan kepada dua kelompok berasingan sedangkan ianya merupakan amalan di Tanah Melayu? Penduduk di Cina tidak boleh disamakan dengan penduduk Cina di Tanah Melayu. Hal ini kerana dalam Perlembagaan Sarawak, tidak dinyatakan bahawa Cina merupakan Bukan Bumiputera di Sarawak. Memandangkan kita menyertai Malaysia selepas kemerdekaan Tanah Melayu, maka perkataan Bukan Bumiputera ke atas masyarakat Cina dan India tidak harus digunapakai. Cina dan India adalah Bumiputera di Sarawak seperti bangsa lain, pendek kata, semua rakyat yang menjadi warganegara Sarawak sebelum membentuk Malaysia harus diiktiraf sebagai Bumiputera.


Sarawak tidak pernah ada rusuhan kaum
Mengapa Sarawak tidak pernah ada rusuhan kaum? Di Semananjung Malaysia, terdapat TIGA bangsa utama iaitu Melayu, Cina dan India. Di Sarawak pula kita ada hampir TIGA PULUH bangsayang terdiri daripada Melayu, Melanau, Iban, Bidayuh, Cina, India, Berawan, Bisaya, Bukitan, Kenyah, Kayan, Kelabit, Kedayan, Kejaman, Lahanan, Lun Bawang, Murum, Punan, Saban, Penan dan sebagainya. Di Semananjung, Melayu dan Orang Asli adalah Bumiputera manakala Cina, India dan Portugis Bukan Bumiputera. Mungkin sebab itu berlakunya ketegangan kaum pada tahun 1969. Di Sarawak, biarpun dibahagikan kepada 2 kelompok tetapi tidak perah berlaku rusuhan kaum kerana keharmonian yang diwariskan oleh pemerintahan terdahulu. Malah di sini, terdapat banyak perkahwinan campur antara Cina, India dengan bangsa lain sehingga menghasilkan generasi campuran. Maka, saya tidak melihat kenapa harus kita membeza-bezakan 'mereka' dengan 'kita' kerana semakin 'kita' membezakan 'mereka', semakin itu kuat anasir-anasir luar yang hendak memecahbelahkan kita supaya terjadinya rusuhn kaum.


Lihat kepada persamaan, buangkan perbezaan
Allah mencipta manusia berbeza-beza supaya kita dapat mengenali antara satu sama lain dan mencari titik persamaan. Apa yang berlaku sekarang, kita didoktrinkan dengan pemikiran Ketuanan Bumiputera manakala menyisihkan peranan kaum 'Bukan Bumiputera' ini. Siapa kita hendak melayakkan diri kita lebih mulia dari bangsa lain sedangkan Allah tidak pernah membezakan makhluk ciptaannya. Cina, Melayu, India, Dayak dan Kadazandusunmurut adalah sama kerana kita adalah manusia. Menafikan hak mereka bermakna kita menindas mereka. Jika kita menindas mereka, maka kita adalah lebih teruk dari binatang. Kita harus bersifat keperikemanusiaan kepada mereka iaitu masyarakat Cina dan India kerana sumbangan mereka dalam pembangunan negara. Bukan itu sahaja, mereka telah menumpahkan taat setia mereka kepada negara tercinta ini masakan pula kita masih menafikan hak mereka? Mereka mempunyai hak diiktiraf sebagai Bumiputera memandangkan mereka tidak pernah memilih untuk menjadi Bukan Bumiputera sewaktu menyertai Malaysia. Jika kita kata Cina dan India adalah pendatang, bukankah kita juga pendatang? Siapa penghuni negeri ini sebelum kedatangan Cina, India, Melayu, Dayak, dan Orang Ulu? Adakah kita memilih untuk dilahirkan di dunia ini sebagai Cina? Melayu? India? Dayak? Orang Ulu? Apakah itu pilihan kita atau ketetapan Allah? Jika Allah telah menetapkan sesorang itu dilahirkan sebagai Cina, kenapa kita hendak menafikan hak mereka? Adakah menafikan hak mereka bermaksud kita menafikan ketentuan Allah?


Ke arah kemakmuran bersama
Jika Sarawak ingin maju ke hadapan, kita harus mengiktiraf masyarakat Cina dan India di Sarawak sebagai Bumiputera. Kita harus berfikiran terbuka dan bersatupadu. Jika kita masih mengasingkan mereka dalam golongan Bukan Bumiputera, kita masih belum bersatupadu dan masih ketinggalan dari negara lain yang membangunkan negara mereka merentasi kaum. Jika kita mengiktiraf mereka bermakna kita mampu menerima perubahan dan hidup dalam harmoni. Kita harus hapuskan perasaan syak wasangka kita kepada mereka kerana jika tidak, negeri ini akan rugi. Kita harus tunjuk kepada dunia bahawa Sarawak bukan sahaja kaya dengan hasil bumi tetapi kaya dengan sifat bersatupadu kerana berani mengiktiraf orang Cina dan India sebagai Bumiputera. Kita harus tunjuk kepada Malaysia bahawa Sarawak adalah unik. Kita mulakan, yang lain akan turut serta. Jika kita hendak negeri ini membangun, kita harus membangunkan dahulu pemikiran kita. Kita haruslah membuang anasir-anasir jahat seperti perasaan syak wasangka dan sifat menindas kita terhadap mereka. Apa guna menjadi sebuah negara maju jika rakyatnya masih dipisahkan mengikut kelompok? Sudah tiba masanya kita mengiktiraf masyarakat Cina dan India di Sarawak sebagai Bumiputera.

1 comment:

  1. Sedih ku nanggar ko tuk jis dah mcn najis dah..sik boh kuat gilak jeck chong ya jis rasa nak muntah dah.

    ReplyDelete